Laman Utama  l  Senarai Berita  l  Facebook  l  Twitter   l   Kembali ke BERNAMA.COM   l   Versi B. Inggeris   Rabu, 21 Ogos 2019  
 

 
  Sokongan Rakyat Sarawak Meningkat Kepada Kerajaan, BN - PM Najib


PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada Sabtu lepas menunjukkan sokongan rakyat Sarawak semakin meningkat pada Barisan Nasional (BN) dan kerajaan pimpinan BN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Dengan mandat besar sedemikian yang diberikan, beliau berkata pegawai kerajaan, anggota perkhidmatan dan pentadbiran awam perlu sentiasa mendengar denyut nadi dan apa yang dirasai oleh rakyat.

Katanya, agenda kerajaan adalah memenuhi kehendak rakyat termasuk di Sarawak dan Sabah, yang merupakan negeri luas, walaupun ia memakan masa dan melibatkan kos tinggi.

"Kita boleh fikirkan penyelesaian seperti menyediakan setiap batang jalan memenuhi piawaian Jabatan Kerja Raya dan semua rumah panjang mesti dilindungi dengan 'network pipeline' dan menggunakan kreativiti atau micro hydro sistem.

"Inilah contoh-contoh yang boleh kita fikirkan. Tidak melakukan bukan satu alternatif dan tidak boleh biarkan mereka tanpa kemudahan asas. Ini adalah salah dari segi moral," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari Isnin.

BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya negeri ke-11 pada Sabtu.

Najib berkata komitmen kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah merupakan asas kejayaan yang perlu diteruskan.

Katanya, kemenangan BN di Sarawak juga menunjukkan harapan rakyat kepada kerajaan untuk melaksanakan pembangunan, yang merupakan satu agenda terpenting perlu dilaksanakan dalam jangka masa tertentu.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mempunyai hala tuju dan pelan pembangunan yang disusun begitu baik untuk melaksanakan pelan agar sampai ke peringkat akar umbi.

"Kerajaan mempunyai pelan dan kerajaan sedang melaksanakannya. Maka, rakyat akan lebih yakin dengan apa yang kita janji dan menepati apa yang dikotakan. Kita jangan lupa, ini adalah tanggungjawab kita," katanya.

Sebagai contoh, Najib menjelaskan kerajaan telah melaksanakan pelbagai program yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak dan seluruh Malaysia, seperti melaksanakan projek pembangunan Lebuhraya Pan Borneo.

"Kita masih mampu menjaga kebajikan pegawai-pegawai awam, kenaikan tahunan khas satu mata tangga gaji pada 1 Julai tetap dilaksanakan. Kita juga laksanakan tangga gaji minimum lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA
   
   

 
 

 
 
 

 
 
     
 

MIRI -- Calon BN N73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerima ucapan tahniah daripada lawannya calon DAP, Alan Ling Sie Keong selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11. Beliau menang dengan majoriti 2,112 undi.

 
     
 

 
 
     
 

 
© 2019 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution