Laman Utama  l  Senarai Berita  l  Facebook  l  Twitter   l   Kembali ke BERNAMA.COM   l   Versi B. Inggeris   Selasa, 20 Ogos 2019  
 

 
  Kejayaan SUPP Hasil Kerja Baik Pemimpin Baharu - Dr Chan

Oleh Caroline Jackson

KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Pencapaian membanggakan SUPP memenangi tujuh daripada 13 kerusi ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) semalam, menunjukkan pemimpin baharu parti itu telah melaksanakan tugas yang baik meyakinkan masyarakat Cina untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerajaan.

Bekas presiden parti itu, Tan Sri Dr George Chan berkata keseluruhan pemimpin baharu SUPP diketuai Datuk Dr Sim Hui Hian, sudah melakukan usaha terbaik agar parti berkenaan kembali relevan.

"Selain 'faktor Adenan', amat jelas terdapat perubahan sokongan terhadap BN," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pada pilihan raya negeri 2011, SUPP kalah di 13 daripada 19 kerusi ditandingi parti itu, dan Dr Chan juga tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau.

Dalam PRN-11, pada pertandingan yang ditunggu-tunggu, Dr Sim merampas kerusi Batu Kawah daripada DAP apabila mengalahkan penyandang Christina Chiew Wang See dan calon Bebas Liu Thian Leong.

Sebagai bekas timbalan ketua menteri (DCM) dalam kabinet bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketika itu, Dr Chan bersetuju jawatan DCM harus diberi semula kepada SUPP melalui Dr Sim sebagai pengiktirafan kepada sumbangan masyarakat Cina terhadap negeri ini.

Berbeza dengan dakwaan pembangkang bahawa SUPP tidak akan berkesan, beliau berkata: "SUPP sepatutnya mendapat kedudukan itu, yang telah dijanjikan kepada Dr Sim kerana ia akan menjadi perangsang kepada SUPP dan kaum Cina untuk memainkan peranan lebih besar dalam politik dan kerajaan."

Dr Sim adalah anak kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak mendiang Datuk Amar Sim Kheng Hong, yang juga bekas presiden SUPP.

Bagaimanapun, Dr Chan juga menyifatkan prestasi memberangsangkan parti itu adalah disebabkan 53 inisiatif yang diperkenalkan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, dan juga populariti pemimpin terbabit.

"Adenan dilihat lebih adil...jelas sekali, beliau seorang yang mendengar dan respons kepada permintaan mereka," katanya merujuk beberapa inisiatif kepada masyarakat Cina, antaranya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan melarang sesiapapun daripada memanggil kaum Cina sebagai "pendatang", selain memberi geran kepada sekolah Persendirian Cina.

-- BERNAMA
   
   

 
 

 
 
 

 
 
     
 

MIRI -- Calon BN N73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerima ucapan tahniah daripada lawannya calon DAP, Alan Ling Sie Keong selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11. Beliau menang dengan majoriti 2,112 undi.

 
     
 

 
 
     
 

 
© 2019 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution