Laman Utama  l  Senarai Berita  l  Facebook  l  Twitter   l   Kembali ke BERNAMA.COM   l   Versi B. Inggeris   Isnin, 17 Jun 2019  
 

 
  Kemenangan Besar Pemuda BN Bukti Strategi Mendekati Pengundi Muda Berkesan - Fadillah

KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Kemenangan besar calon Pemuda Barisan Nasional di 11 daripada 13 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya Sarawak semalam membuktikan keberkesanan strategi Armada Pemuda dan memenangi hati pengundi khususnya pengundi muda.

Pengerusi Pemuda BN yang juga Ketua Pemuda PBB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kemenangan besar di Tupong, Serembu, Sadong Jaya, Balai Ringin, Saribas, Layar, Jemoreng, Machan, Tamin, Belaga dan Lambir jelas membuktikan penerimaan dan sokongan padu pengundi Sarawak kepada #TeamAdenan.

Katanya Pemuda BN juga berjaya mengurangkan majoriti calon DAP di dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Padungan dan Pending.

"Di Padungan, majoriti pembangkang berjaya dikurangkan daripada 7,884 undi kepada 5,062 undi, manakala di Pending, majoriti pembangkang berjaya dikurangkan daripada 7,595 undi kepada 4,270 undi.

"Majoriti tertinggi calon Pemuda dicatatkan di Tupong iaitu 8,055 undi," katanya dalam kenyataan di sini hari Ahad.

Fadillah berkata kemenangan itu juga membuktikan kematangan politik rakyat Sarawak yang mahukan kesinambungan pembangunan yang dibawa Barisan Nasional, sekaligus menolak politik kebencian dan adu domba pembangkang.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberi mandat kepada BN untuk terus menerajui kepimpinan negeri Sarawak untuk lima tahun lagi.

"Selaku ketua pemuda saya akan memastikan setiap wakil rakyat dari kalangan Pemuda yang dipilih, memberikan khidmat terbaik di kawasan masing-masing," katanya.

-- BERNAMA
   
   

 
 

 
 
 

 
 
     
 

MIRI -- Calon BN N73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerima ucapan tahniah daripada lawannya calon DAP, Alan Ling Sie Keong selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11. Beliau menang dengan majoriti 2,112 undi.

 
     
 

 
 
     
 

 
© 2019 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution