Laman Utama  l  Senarai Berita  l  Facebook  l  Twitter   l   Kembali ke BERNAMA.COM   l   Versi B. Inggeris   Selasa, 20 Ogos 2019  
 

 
  ADUN Jumpa Pengundi Sejurus Menang


Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (dua, kiri) berkunjung ke sebuah pasar, hari ini bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundinya selepas memenangi kerusi DUN itu semalam.
MIRI, 8 Mei (Bernama) -- Selepas beberapa jam diumumkan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew sudah memulakan rutin hariannya turun padang bertemu pengundi di kawasannya seawal pukul 5 pagi.

Setiausaha Agung SUPP itu malah sudah merancang untuk berbuat demikian ketika tempoh berkempen lagi sebagai tanda berterima kasih kepada pengundinya.

"Walau menang ataupun kalah, saya sudah merancang untuk tetap mahu berterima kasih kepada mereka kerana telah keluar mengundi di kawasan ini semalam.

"Saya sangat bersyukur kerana mereka masih memberi peluang kepada saya untuk terus berkhidmat kepada mereka...Saya berharap agar pada lima tahun akan datang akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas bertemu pengundi-pengundinya di Old Men Street di sini hari ini.

Turut bersama Ting adalah isteri Datin Sylvia Lim dan anak lelaki sulungnya, Malcolm Ting.

Pada pilihan raya negeri semalam, Ting, 66, merampas kembali kerusi DUN Piasau daripada DAP dengan majoriti 2,112 undi, setelah memperoleh 7,799 undi menewaskan penyandangnya, Alan Ling Sie Kiong yang mendapat 5,687 undi.

Begitu juga Datuk Lee Kim Shin, dipilih mewakili Senadin untuk penggal kelima berturut-turut, dan sejak pukul 8.30 pagi lagi tidak mensia-siakan harinya bertemu para pengundi untuk mengucapkan terima kasih.

Beliau telah melawat lima lokasi, selain sempat merasmikan program 'Miri Bike Week' di sini, sebelum bertolak ke Kuching bagi menghadiri mesyuarat parti.

Beliau berkata ini adalah rutin normal baginya sejak dilantik menjadi ADUN kawasan itu dari penggal pertama lagi.

"Saya gembira dapat bertemu para pengundi di sini. Daripada bahasa tubuh mereka, saya dapat rasakan sokongan yang tulen, saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberi kepada saya dan akan beri yang terbaik untuk kawasan ini," katanya.

Lee mendapat majoriti 3,538 mengalahkan calon DAP Dr Bob Baru Langub dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru Philemon John Edan pada pilihan raya Sarawak ke-11 semalam.

Pada pilihan raya negeri 2011, beliau hanya mendapat majoriti undi 58.

-- BERNAMA
   
   

 
 

 
 
 

 
 
     
 

MIRI -- Calon BN N73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerima ucapan tahniah daripada lawannya calon DAP, Alan Ling Sie Keong selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11. Beliau menang dengan majoriti 2,112 undi.

 
     
 

 
 
     
 

 
© 2019 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution