Laman Utama  l  Senarai Berita  l  Facebook  l  Twitter   l   Kembali ke BERNAMA.COM   l   Versi B. Inggeris   Selasa, 20 Ogos 2019  
 

 
  Najib Ingatkan Calon Menang Supaya Tidak Lupa Janji

KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan calon-calon Barisan Nasional (BN) yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya ke-11 (PRN-11) Sarawak hari ini supaya jangan lupa kepada janji yang diberi, dan menasihatkan mereka supaya sentiasa berkhidmat untuk rakyat.

Perdana menteri yang mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlang Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengetuai jentera pilihan raya BN dalam PRN-11 turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Sarawak yang terus memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun menurutnya kejayaan cemerlang BN ini turut diiringi dengan perasaan amat sedih sekali berikutan kematian mereka yang terbabit dalam kemalangan helikopter dua hari lepas.

Beliau berkata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, bersama suaminya Tuan Asmuni Abdullah, serta pengawal peribadinya Ahmad Sobri, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, dan juruterbang helikopter malang AS350 Kapten Rudolf Rex Ragas, merupakan sebahagian daripada mereka yang gigih melaksanakan tugasan dan tanggungjawab masing-masing.

"Komitmen, kerja keras dan pengorbanan mereka akan terus dikenang," menurut beliau dalam catatan Facebooknya. Keputusan PRN-11 hari ini menyaksikan BN memperoleh kejayaan cemerlang apabila ia berjaya memenangi 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82 kerusi DUN, berbanding PRN pada 2011 yang menyaksikan ia menang 55 kerusi daripada 71 yang dipertandingkan.

Dalam kejadian dua hari lepas, helikopter yang membawa rombongan Noriah itu dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan dari Betong, kira-kira 250km dari sini ke Kuching, dan sehingga kini lima daripada daripada enam mangsa kejadian sudah ditemui berhampiran serpihan helikopter, di sekitar sungai Batang Lupar.

Perdana menteri turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan penduduk Bumi Kenyalang yang keluar menunaikan tanggungjawab mengundi untuk kesejahteraan negeri dan negara.

"Sebagai Apai Besar Malaysia, saya berjanji, bersama-sama Apai Besar Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan juga wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang lain, kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang telah anda semua berikan," katanya.

"Bersama, kami akan pastikan Sarawak terus makmur, membangun dan maju seiring dengan kemajuan negara," tambahnya.

-- BERNAMA
   
   

 
 

 
 
 

 
 
     
 

MIRI -- Calon BN N73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerima ucapan tahniah daripada lawannya calon DAP, Alan Ling Sie Keong selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11. Beliau menang dengan majoriti 2,112 undi.

 
     
 

 
 
     
 

 
© 2019 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution