Laman Utama  l  Senarai Berita  l  Facebook  l  Twitter   l   Kembali ke BERNAMA.COM   l   Versi B. Inggeris   Isnin, 17 Jun 2019  
 

 
  72 Cukup Bermakna Buat Adenan


KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Rakyat Sarawak memberikan hadiah istimewa kepada Tan Sri Adenan Satem dengan mandat besar untuk menerajui kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) buat penggal ke-11.

Kemenangan 72 kerusi untuk pemimpin berusia 72 tahun itu pada pilihan raya negeri ke-11 menunjukkan rakyat Bumi Kenyalang memberi kepercayaan kepada Adenan untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-11.

Pencapaian itu merupakan detik bersejarah bagi Adenan, selaku presiden PBB, selama 40 tahun berkecimpung dalam politik.

Kemenangan itu lebih manis apabila BN merampas tujuh kerusi majoriti Cina termasuk kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Mengetuai BN buat pertama kali pada pilihan raya negeri, Adenan meminta pengundi memberi peluang lima tahun lagi sebelum beliau bersara dalam politik bagi merealisasikan visinya membangunkan negeri ini bersama kaum Cina dalam kabinet negeri itu.

Seruan pemimpin popular itu dibalas oleh kaum Cina dengan mengembalikan semula kerusi Batu Kawah, Piasau, Dudong, Bawang Assan, Repok, Meradong serta kerusi baharu Batu Kitang.

Sebaik sahaja keputusan akhir diumumkan, Adenan sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Taib Mahmud.

Majlis di Astana, kediaman rasmi Taib, itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kejayaan cemerlang itu adalah hasil di sebalik parti tonggak BN, PBB serta PRS masing-masing menyapu bersih 40 dan 11 kerusi serta sumbangan tujuh kerusi oleh SUPP, tiga oleh SPDP dan 11 calon langsung, sekali gus melepasi ramalan 70 kerusi.

Gabungan itu membuka langkah kanan dengan menang dua kerusi tanpa bertanding iaitu Bukit Sari dan Bukit Kota, pada hari penamaan calon, 25 April lepas.

Rakyat Sarawak memberi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan apabila DAP hanya mampu mengekalkan tujuh kerusi dan hilang lima berbanding rekod 12 kerusi yang dimenangi pada 2011.

Parti pembangkang itu mengekalkan Kota Sentosa, Padungan, Pending, Pelawan, Bukit Assek, Tanjung Batu dan Pujut.

PKR, yang tidak sehaluan dengan DAP pada pilihan raya negeri ini, bertanding di 40 kawasan dan hanya mengekalkan rekod 2011 iaitu Ba'Kelalan, Krian dan Batu Lintang.

Adenan mempertahankan kerusi Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi selepas mengalahkan pencabar tunggal Jazolkipli Numan yang hanya mampu mendapat 468 undi.

Calon PKR itu hilang deposit.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing mengekalkan kerusi Baleh dengan mengalahkan calon DAP, Agop Linsong dengan majoriti 4,793 undi.

Dalam misi hidup atau mati, SUPP meraikan kemenangan tujuh daripada 13 kerusi ditandingi dengan merampas Batu Kawah, Repok, Meradong dan Piasau daripada DAP.

SUPP juga menguasai kerusi baharu Batu Kitang serta kerusi kawasan campuran Senadin dan kawasan majoriti Dayak di Simanggang.

Di Batu Kawah, Dr Sim mencapai kemenangan selesa dengan mengalahkan penyandang Christina Chiew 6,414-4,329 undi dalam pertarungan tiga penjuru. Calon Bebas, Liu Thian Leong hanya memperoleh 1,109 undi dan hilang deposit.

Kejayaan kerusi Piasau amat bernilai apabila setiausaha agung SUPP, Datuk Sebastian Ting mengambil semula kerusi itu daripada rakan sejawatan DAP Negeri, Alan Ling Sie Kong yang menyingkirkan presiden SUPP ketika itu, Tan Sri George Chan pada 2011.

Ting memperoleh majoriti 2,112 undi di sebalik majoriti 1,590 undi yang diperoleh Ling ketika menewaskan Dr Chan, bekas ketua menteri Sarawak.

Strategi Adenan menurunkan calon langsung buat julung kali dalam sejarah pilihan raya negeri telah membuahkan hasilkan apabila 11 daripada 13 calon menang kerusi masing-masing.

Kerusi tersebut termasuk Bawang Assan yang dikekalkan oleh Datuk Seri Wong Soon Koh, calon tertua pada usia 73 tahun bertanding pada pilihan raya kali ini. Beliau menggandakan majoriti daripada pencapaian sebelum ini dalam pertarungan lima penjuru termasuk muka baharu DAP, Chiew Sung Ngie.

Sekutu ketiga dalam pakatan, Amanah, dan PAS, Star, PBDSB dan 36 calon Bebas gagal dalam cubaan masing-masing dengan sebilangan mereka hilang deposit.

-- BERNAMA
   
   

 
 

 
 
 

 
 
     
 

MIRI -- Calon BN N73 Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerima ucapan tahniah daripada lawannya calon DAP, Alan Ling Sie Keong selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11. Beliau menang dengan majoriti 2,112 undi.

 
     
 

 
 
     
 

 
© 2019 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 8.0 & Internet Explorer 8.0 with 1024 x 768 resolution