Brought to you by BERNAMA

   

Wednesday, July 23, 2014 
 

 

 

 
 
More sharing of information and close to cooperation among countries in Southeast Asia will help reduce incidences of smuggling and piracy
Agree
Disagree
Not sure
 
 
     
 
P/raya Kecil Machap Turut Bawa Manfaat Kepada Pengeluar Roti Tongkat
April 11, 2007 18:58 PM

ALOR GAJAH, 11 April (Bernama) -- Bagi penduduk setempat, menghirup secawan kopi bersama "roti tongkat" merupakan perkara biasa yang dinikmati saban hari, dan pilihan raya kecil Machap telah memberi peluang kepada orang luar untuk sama-sama merasai keenakan makanan popular itu.

Pilihan raya kecil itu secara tidak langsung turut membawa manfaat kepada pengeluar roti tongkat yang boleh diukur berdasarkan kepada peningkatan pengeluaran dan angka jualan.

Kenn Guan Hiong Sdn Bhd adalah pengeluar biskut itu, juga dikenali dengan nama Cina "roti kok", di premisnya di Kampung Baru Machap Baru.

Peniagaan keluarga itu diterajui oleh Phua Kia Fatt, 5O, yang berkata datuknya memulakan perniagaan itu 70 tahun lepas di Kampung Pasir yang berdekatan sebelum memindahkan operasinya ke Machap Baru pada 1954.

Phua berkata sempena pilihan raya kecil itu, permintaan terhadap roti tongkat meningkat dengan syarikat itu mengeluarkan kira-kira 400kg makanan itu sehari berbanding purata 350kg sehari sebelum ini.

"Kami kini mengeluarkan kira-kira 1,000 paket sehari. Sebuah kedai runcit di sini menempah 150 paket roti tongkat setiap minggu semasa pilihan raya kecil ini berbanding 70 paket pada kebiasaannya. Orang dari luar daerah ini amat menggemarinya," katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) Lai Meng Chong, 56, ditentang calon DAP Liou Chen Kuang, 33, dalam pengundian esok. Ia diadakan berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri BN Datuk Wira Poh Ah Tiam bulan lepas.

Phua berkata syarikat itu kini menggunakan gabungan kaedah moden dan tradisional untuk menghasilkan roti tongkat dengan kini menggunakan ketuhar untuk proses pembakaran dan bukan lagi kayu api. Bahan utama yang digunakan untuk membuat biskut itu ialah gula, garam, minyak sayuran dan majerin.

Beliau gembira kerana roti tongkat turut mendapat perhatian Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Semasa mengumumkan calon BN bagi pilihan raya kecil kawasan Machap pada 2 Mac, Timbalan Perdana Menteri ada menyebut yang beliau teringin menikmati roti tongkat dengan secawan kopi seperti dicadangkan oleh penduduk setempat.

Malahan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata roti tongkat merupakan produk kampung itu yang sedang dipromosikan oleh kerajaan negeri untuk menarik pelancong ke Melaka.

Phua, bagaimanapun masih tidak pasti mengenai masa depan makanan unik itu kerana anak lelaki tunggalnya dan dua anak perempuannya tidak berminat untuk meneruskan perniagaan itu.

-- BERNAMA

 
  Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved. Disclaimer.