Brought to you by BERNAMA

   

Wednesday, January 16, 2019 
 

 

 

 
 
More sharing of information and close to cooperation among countries in Southeast Asia will help reduce incidences of smuggling and piracy
Agree
Disagree
Not sure
 
 
     
 
MBAS Dijangka Ambil Alih Pentadbiran Pulau Payar Dari MDL Nov Ini
September 16, 2005 19:31 PM

ALOR STAR, 16 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) dijangka akan mengambil alih pentadbiran kawasan Pulau Payar yang terkenal dengan terumbu karang, aktiviti menyelam, dan pelbagai spesis ikan, daripada Majlis Daerah Langkawi, November ini.

Pemangku Menteri Besar Kedah, Mahdzir Khalid berkata pengambilalihan itu diharap akan dapat membantu menjadikan Pulau Payar lebih menonjol di kalangan pelancong asing mahupun tempatan.

Beliau berkata perkhidmatan feri Kuala Kedah-Pulau Payar-Langkawi akan disediakan supaya kos untuk ke pulau itu menjadi lebih murah dan mampu dikunjungi ramai.

"Pulau Payar akan ditonjolkan sebagai salah satu aset pelancongan utama bandaraya Alor Star, tapi pada masa yang sama kita juga kena hadkan jumlah kemasukkan harian pengunjung ke pulau itu bagi memelihara khazanah dan sumber alam sekitarnya," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan sehari di pulau itu Jumaat.

Pulau Payar yang terletak kira-kira 15 batu nautika dari Kuala Kedah dan 19 batu nautika dari Langkawi diwartakan sebagai taman laut pada 1994 dan apabila Alor Star diisytiharkan sebagai bandaraya pada 21 Disember 2003 lalu, pulau itu memang sudah dicadangkan menjadi sebahagian daripada kawasan pentadbirannya.

Pulau itu juga menyediakan satu taman laut yang berfungsi sebagai kawasan penyelidikan mengenai terumbu karang, spesis gamat, tukun tiruan, pemetaan dasar laut dan kualiti air.

Kerajaan negeri sebelum ini membina 12 chalet yang menyamai rekabentuk bebola yang bernilai hampir RM10 juta bagi tujuan penginapan eksklusif yang mesra alam untuk pelancong-pelancong asing, namun ia telah menimbulkan kebimbangan dari pencinta alam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Chalet yang baru sahaja memperolehi Sijil Menduduki (CF) sementara daripada Majlis Daerah Langkawi (MDL) itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain pada 15 Januari lalu tetapi sehingga sekarang ianya masih belum beroperasi.

Mahdzir berkata pembinaan chalet-chalet itu bertujuan memberi keselesaan kepada pelancong untuk berehat di samping dapat meninjau keindahan panorama taman laut dari atas puncak bukit pulau, namun ia hanya untuk kegunaan siang hari sahaja dan pelancong tidak dibenarkan bermalam di pulau itu bagi memastikan persekitarannya terus terpelihara.

Beliau berkata kemasukkan pelancong ke pulau itu juga akan dikawal, supaya bilangan pengunjung setiap hari tidak melebihi had yang boleh menjejaskan keaslian persekitarannya, dan beliau menganggarkan antara 150,000 hingga 250,000 pelancong, kebanyakannya pelancong luar negara mengunjungi Pulau Payar setiap tahun.

Mahdzir berkata kerajaan negeri akan melantik pihak yang bakal menguruskan chalet tersebut setelah kajian ekosistem dan ekologi oleh sebuah syarikat perunding disiapkan.

-- BERNAMA

 
  Copyright 2019 BERNAMA. All rights reserved. Disclaimer.