Carian
  • English Version
  • |
  • Kembali ke BERNAMA.com
  • |

November 06, 2009 16:38 PM

Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Di Kuala Langat Beroperasi 1 Jan

KUALA LANGAT, 6 Nov (Bernama) -- Dua sel pertama Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Tanjung Dua Belas di sini akan mula beroperasi 1 Jan tahun depan, sekaligus dapat mengurangkan masalah pembuangan sampah yang dialami oleh penduduk sekitar Sepang, Kajang, Putrajaya dan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata operasi tapak pelupusan sisa pepejal sanitari seluas 6.4 hektar dan menelan kos kira-kira RM50 juta itu dapat menampung kira-kira lapan juta tan sampah pada keseluruhannya.

Sebaik sahaja tapak pelupusan sisa itu beroperasi, tapak pelupusan di Ampar Tenang, Sepang, dan Sungai Sedu akan ditutup, katanya.

"Sebelum ini kita dah banyak terima aduan penduduk di Kuala langat dan Sepang...harap penduduk di kawasan ini dapat bertahan sedikit sehingga dua sel tapak pelupusan sisa pepejal ini mula beroperasi 1 Jan depan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Dr Hasan berkata demikian selepas melawat projek Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Tanjung Dua Belas yang dikendalikan oleh Worldwide Holdings Bhd, syarikat pengurusan hartanah dan utiliti.

Ketua Bahagian Alam Sekitar Worldwide Holdings, Zamri Abdul Rahman berkata operasi dua sel pertama tapak pelupusan sisa pepejal seluas 0.4 hektar itu dijangka boleh menampung kira-kira 400 tan sampah sehari.

"Tapak pelupusan sisa pepejal ini yang mempunyai jangka hayat kira-kira 25 tahun adalah pembinaan berfasa. Pembinaan akan berterusan walaupun selepas kita dah terima sampah untuk dua sel pertama bermula 1 Jan depan.

"Pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal ini menekankan aspek keselamatan alam sekitar, air bawah tanah, loji rawatan "leachate" (air larut resap yang terhasil dari tapak pembuangan sampah) dan gas...memiliki jentera pemampat dan para jurutera berkelayakan," katanya.

Zamri berkata Tanjung Dua Belas dipilih sebagai lokasi tapak pelupusan sisa pepejal itu kerana ia terletak jauh dari penempatan iaitu kira-kira lima kilometer, terletak di luar kawasan tadahan air dan strategik untuk menghantar sampah dari kawasan Banting dan Sepang.

Beliau berkata pelaksanaan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Mei lepas iaitu pembinaan jalan masuk setelah memperoleh kelulusan laporan Kesan Alam Sekitar (EIA) pada 17 Sept tahun lepas.

Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Tanjung Dua Belas ini adalah yang ketiga dikendalikan oleh Worldwide Holdings selepas Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Air Hitam, Puchong, yang telah ditutup dan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Jeram, Kuala Selangor yang telah beroperasi selama dua tahun.

-- BERNAMA