
November 06, 2009 15:02 PM
RHB Islamic Bank Berimej Baru Buka Cawangan Pertama Di Sabah
KOTA KINABALU, 6 Nov (Bernama) -- RHB Islamic Bank membuka cawangan pertamanya di Sabah Jumaat dengan menampilkan imej baharu.
"RHB Islamic Bank kini tampil dengan imej baharu yang lebih menyerlah, selaras dengan iltizam kami untuk memberikan yang terbaik kepada semua pelanggan bank.
"RHB Islamic Bank, yang sekian lama menggunakan warna biru yang begitu sinonim dengan Kumpulan Perbankan RHB, kini berhijrah kepada warna hijau muda dengan harapan RHB Islamic Bank akan lebih mudah dikenali ramai," kata Pengerusinya Datuk Faisal Siraj, pada Majlis Perasmian Identiti Korporat bank itu dan pembukaan rasmi cawangan Kota Kinabalu di sini hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyempurnakan majlis perasmian berkenaan.
Menurut Faisal, walaupun bank berasaskan perbankan Islam itu baru dibuka hari ini, produk dan perkhidmatan perbankan berteraskan Syariah sudahpun ditawarkan di cawangan RHB Bank di seluruh Sabah melalui sembilan cawangannya.
"Sambutan yang begitu menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan kami di Malaysia Timur membuatkan kami terpanggil untuk membuka cawangan penuh," tambahnya.
Beliau juga berkata minat orang ramai terhadap perbankan Islam juga semakin meningkat.
Menurutnya, RHB Islamic Bank yang beroperasi sejak empat tahun lepas telah menarik pelanggan bukan Islam, dengan kira-kira 40 peratus pelanggan runcit dan 60 peratus pelanggan komersial dan korporat, merupakan pelanggan bukan Islam.
-- BERNAMA






