Carian
  • English Version
  • |
  • Kembali ke BERNAMA.com
  • |

November 04, 2009 18:27 PM

Perbelanjaan Kad Visa Di Asia Pasifik Meningkat

SINGAPURA, 4 Nov (Bernama) -- Perbelanjaan kad Visa di seluruh Asia Pasifik mencecah AS$981 bilion bagi tempoh 12 bulan yang berakhir pada 30 Jun, 2009, meningkat sebanyak 13 peratus berbanding tempoh 12 sebelumnya, kata Visa, rangkaian pembayaran elektronik runcit terbesar dunia.

Kuantiti pembayaran, mewakili jumlah pembelian yang dibuat dengan kad yang menggunakan jenama Visa, Visa Electron atau Interlink, meningkat 13 peratus kepada AS$636 bilion bagi tempoh 12 bulan itu.

Visa dalam satu kenyataan Rabu berkata menerajui pertumbuhan ini, meskipun agak kecil, ialah Visa Consumer Debit dengan 33 peratus kenaikan dalam kuantiti pembayaran.

Kuantiti pembayaran Visa Consumer Credit, yang menyumbang 84 peratus daripada jumlah kuantiti pembayaran Asia Pasifik meningkat sebanyak 12 peratus manakala Visa Commercial naik lapan peratus.

Presiden Visa Inc bagi Asia Pasifik, Eropah Tengah, Timur Tengah dan Afrika, Rupert Keeley berkata keputusan itu membayangkan petanda awal keyakinan yang semakin bertambah baik di rantau ini dan pengguna dan perniagaan mungkin mula berbelanja lebih.

"Walaupun masih terlalu awal untuk menunjukkan kepada pemulihan ekonomi, kita pastinya melihat petanda yang menggalakkan," katanya sambil menambah keseluruhannya, perbelanjaan pemegang kad Visa di rantau ini dalam tempoh 12 bulan lepas berkembang dan terdapat peningkatan dalam jumlah urus niaga pembayaran pada suku April hingga Jun.

Asia Pasifik menyumbang 30 peratus daripada 1.7 bilion kad Visa yang dikeluarkan di seluruh dunia.



-- BERNAMA