
November 04, 2009 17:59 PM
Calon Pemilihan Angkasa Diingat Jangan Berkempen Secara Keterlaluan
SHAH ALAM, 4 Nov (Bernama) -- Calon-calon yang akan bertanding merebut pelbagai jawatan tertinggi dalam pemilihan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bulan depan diingatkan agar tidak terlibat dalam kempen yang keterlaluan hingga boleh menjejaskan badan koperasi itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebaliknya berkata calon-calon harus bertanding secara berhemah bagi mengekalkan hubungan erat di kalangan anggota dalam Angkasa.
"Apabila ada pertandingan untuk jawatan tertinggi, mesti ada kempen besar-besaran dan saya berharap ia tidak menjadi keterlaluan sehingga boleh menjejaskan suasana kekeluargaan sesama anggota dalam koperasi (Angkasa).
"Saya juga nak menasihatkan calon agar tidak terjerbak dalam amalan politik wang dalam pemilihan itu nanti," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Perundangan Koperasi Negeri Selangor dan Majls Dialog Bersama Menteri KPDNKK di sini hari ini.
Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-26 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Dis 19 ini bagi memilih barisan baru kepimpinan iaitu Yang Dipertua (YDP), Timbalan YDP dan tiga Naib YDP.
Angkasa ditubuhkan pada 1971, mewakili kira-kira 5,000 koperasi yang mempunyai keanggotaan berjumlah kira-kira enam juta orang dan aset bernilai kira-kira RM47 bilion.
Pengasas Angkasa, Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, meletakkan jawatannya sebagai YDP pada 7 Jan lepas setelah menerajui badan itu selama lebih 30 tahun.
Di samping itu, Ismail Sabri juga berkata tiada jawatankuasa ataupun badan pemantau diwujudkan khusus bagi mengawasi perjalanan pemilihan Angkasa sehingga kini, dan beliau akan melantik jika keadaan mendesak.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata sebanyak sembilan koperasi yang disyaki menjalankan Skim Cepat Kaya, telah diambil tindakan dengan membekukan akaun mereka.
Katanya, pihaknya hanya menunggu pendakwaan dijalankan ke atas koperasi-koperasi itu, yang melibatkan jumlah keanggotaan kira-kira 20,000 orang.
-- BERNAMA






