Carian
  • English Version
  • |
  • Kembali ke BERNAMA.com
  • |

November 04, 2009 16:18 PM

A&W Sasar Buka 100 Cawangan Menjelang 2015

SUNGAI PETANI, 4 Nov (Bernama) -- A&W Malaysia (A&W) menyasarkan untuk membuka 100 rangkaian restoran menjelang tahun 2015 sebagai usaha menguasai lebih 4.0 peratus pegangan pasaran restoran makanan segera di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulan KUB Malaysia Bhd (KUB) Datuk Mohd Nazar Samad berkata Rabu, setakat ini A&W telah mempunyai 36 cawangan rangkaian restoran itu dan akan membuka 12 lagi cawangan baru di seluruh negara pada tahun hadapan.

"Kita telah menetapkan pelaburan RM24 juta untuk pembukaan cawangan baru itu dengan memilih kawasan strategik di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan A&W cawangan Sungai Petani di sini.

KUB adalah syarikat yang memiliki lesen francais restoran A&W di Malaysia dan Thailand dan cawangan A&W di Sungai Petani itu adalah yang pertama di negeri Kedah.

Selain cawangan di Sungai Petani, katanya syarikatnya akan membuka empat lagi cawangan baharu bagi tahun ini iaitu di Bukit Bintang di Kuala Lumpur, di Petaling Jaya, Wangsa Maju dan di Seberang Jaya di Pulau Pinang.

Mohd Nazar berkata setiap sebuah restoran itu memerlukan pelaburan kira-kira RM1 juta termasuk kos promosi.

Setakat ini, katanya A&W masih tidak mempunyai cawangan di Sabah, Sarawak, Perak dan Perlis dan syarikatnya menyasarkan untuk membuka restoran di negeri-negeri berkenaan pada tahun hadapan.

A&W hari ini turut melancarkan dua produk makanan terbaharunya iaitu "Space Waffle" dan "Winter Snowball."



-- BERNAMA