
November 04, 2009 14:44 PM
Pengambilalihan Rapid KL Dan Rapid Penang Untuk Kemudahan Rakyat
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Pengambilalihan Rapid KL dan Rapid Penang oleh Prasarana Sdn Bdn, syarikat milik kerajaan, bukan bertujuan menyelamatkan kedua-dua syarikat itu sebaliknya bagi memastikan operasi pengangkutan awam berjalan lebih lancar untuk kemudahan rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata oleh itu soal menyelamatkan atau 'bail-out' syarikat berkenaan tidak berbangkit.
"Tidak timbul soal 'bail-out' atau sebagainya, yang lebih penting ialah pengangkutan asas ini perlu terus disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan rakyat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zahrain Mohamed Hashim (PKR-Bayan Baru) di Parlimen di sini, Rabu.
Zahrain bertanya tentang kriteria dan syarat yang dikenakan kerajaan dalam menyelamatkan mana-mana syarikat swasta.
Terdahulu dalam soalan asalnya, Zahrain meminta kerajaan menyatakan kerugian yang dialami Rapid KL dan Rapid Penang dan mengapa kedua-dua syarikat berkenaan diambil alih oleh Syarikat Prasarana Sdn Bhd.
Dr Awang Adek berkata perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang lebih merupakan perkhidmatan sosial dan jika diuruskan oleh pihak swasta, rakyat mungkin tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada perkhidmatan itu.
"Kalau dibiarkan syarikat swasta, yang beroperasi berasaskan keuntungan, tidak ada bas akan melalui jalan-jalan yang tidak ramai penumpang. Tetapi kerajaan ambil kira perkara ini...ambil kira perkhidmatan asas untuk keperluan rakyat," katanya.
Beliau berkata kerugian Rapid KL dan Rapid Penang pula adalah disebabkan oleh kos membaik pulih dan penyenggaraan yang tinggi.
"Melalui pengambilalihan ini, ia akan menjadikan Rapid KL dan Rapid Penang lebih fokus kepada operasi perkhidmatan awam dan perkara-perkara yang melibatkan perkara dasar, seterusnya mengatasi masalah intergrasi pengangkutan awam," katanya.
-- BERNAMA






