Carian
  • English Version
  • |
  • Kembali ke BERNAMA.com
  • |

September 18, 2009 10:30 AM

Restoran Hidang Minuman Akar Kayu Sebagai Menu Istimewa

Oleh Shahrullizan Rusli

SEREMBAN, 18 Sept (Bernama) -- Jika kebanyakan restoran mempunyai menu utama seperti Tom Yam dan Ikan Bakar, sebuah restoran milik seorang anak muda di sini menyajikan menu sampingan istimewa, minuman daripada ramuan akar kayu penambah tenaga.

Restoran D'Pantai menyediakan minuman daripada akar kayu popular seperti Tongkat Ali dan Tengkuk Biawak. Tetapi minuman daripada resipi rahsia ini, sebagai penambah tenaga, tidak pahit seperti yang biasa dirasai jika meminum air campuran akar kayu asli.

Restoran itu terletak di Batu 6, Jalan Pantai berhampiran Jabatan Veterinar Negeri Sembilan dan mula dibuka Jun tahun lepas.

Pemiliknya, Mohd Rizal Abdul Karim, 31, berkata beliau cuma meneruskan usaha bapa saudaranya yang pernah membuka gerai minuman akar kayu berhampiran kawasan itu tidak lama dahulu.

"Gerai Pak Lang dahulu agak popular tetapi selepas ditutup, saya rasa rugi jika tidak diteruskan menu unik ini. Saya akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang pada tahun 2007 untuk membuka restoran ini," katanya kepada Bernama.

Rizal belajar daripada Pak Lang cara untuk memilih akar kayu sebelum mencampurkannya dengan herba atau akar kayu lain supaya mudah dinikmati pelanggan.

RASA PAYAU

"Bukan semua orang boleh minum air Tongkat Ali. Ada orang yang minum sekali sahaja tetapi lepas itu sudah serik untuk mencuba semula kerana rasa payau. Di sini, campuran Tongkat Ali kami mengandungi akar kayu lain dan sedikit madu supaya pelanggan kali pertama akan datang untuk kali kedua," katanya.

Penulis sendiri pernah mencuba minuman Tongkat Ali asli di Langkawi enam tahun lepas tetapi tidak sanggup mencubanya sekali lagi sehinggalah dibawa ke D'Pantai baru-baru ini.

Kini sudah tiga kali penulis mengunjungi restoran itu dan tidak pernah lupa untuk memesan satu teko air minuman campuran akar kayu atau Tongkat Ali yang berharga RM5.

Kesan air akar kayu D'Pantai memang ajaib, badan penulis yang sering sakit-sakit kini terasa luar biasa dan badan sentiasa berpeluh.

Jika tidak suka kepada Tongkat Ali, pengunjung boleh memesan air Sarsi tetapi bukanlah minuman ringan Sarsi biasa, sebaliknya air yang direbus bersama akar kayu Sarsaparilla dan rasanya sangat enak serta manis.

LANGKAH KESELAMATAN

Menurut Rizal, restoran itu menghidangkan akar kayu seperti Tongkat Ali, Sarsi, Tengkuk Biawak, Teja, Tongkat Ali Hitam, Kacip Fatimah dan Medang.

Bekalan akar kayu ini didapatkannya daripada Orang Asli yang mengutip tumbuhan semula jadi itu di kawasan hutan berhampiran.

"Kita masak akar-akar kayu ini dalam periuk tanah liat selama lebih kurang dua jam. Kalau dalam periuk aluminium, khasiatnya akan hilang," katanya.

Beliau berkata langkah keselamatan sentiasa diambil misalnya, air akar kayu yang mahu dihidangkan biasanya ditapis untuk membuang serbuk-serbuk kayu yang mungkin terampai.

Bagi pengunjung yang jauh, D'Pantai turut menyediakan campuran akar kayu untuk dibawa balik dengan harga yang berpatutan.

LAMAN DAGANG

Rizal menjual akar kayunya menerusi laman web seperti ebay dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pembeli di Afrika dan Korea Selatan.

D'Pantai turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti internet jalur lebar secara percuma malah pengunjung yang tidak membawa komputer bimbit boleh menyewa daripada restoran dengan bayaran RM2.50 sahaja.

Restoran dibuka setiap hari dan kedudukannya juga sangat strategik berhampiran taman permainan kanak-kanak, mini zoo dan pusat menunggang kuda.

Pengunjung yang ingin mengenali Restoran D'Pantai boleh membuka laman webnya di alamat gisb2006.blogspot.com.

-- BERNAMA