Carian
  • English Version
  • |
  • Kembali ke BERNAMA.com
  • |

March 27, 2007 15:32 PM

Kes Aduan Perumahan Paling Tingi Di Selangor

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Selangor dikenalpasti sebagai negeri yang paling banyak menerima kes aduan projek perumahan bermasalah iaitu 45 peratus atau 2,029 aduan daripada keseluruhan aduan yang diterima di seluruh negara tahun lepas.

Pengarah Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dr G Parameswaran berkata kebanyakan aduan yang diterima daripada orang ramai melibatkan projek perumahan lewat.

"Aduan utama lain ialah projek berkeadaan sakit iaitu projek tidak mencapai kemajuan 25 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tarikh perjanjian jual beli ditandatangani," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya Selangor mempunyai banyak kes aduan kerana negeri itu adalah yang paling pesat melaksanakan pembangunan projek perumahan.

Beliau berkata 988 daripada aduan itu berjaya diselesaikan.

Parameswaran berkata aduan lain yang sering diketengahkan ialah pemaju melanggar pelbagai akta dan peraturan melibatkan projek pembinaan rumah.

Beliau berkata pihaknya berjaya menyelesaikan 1,591 daripada 4,542 aduan pembeli rumah pada tahun lepas.

Menurutnya daripada 3,834 kes gagal mematuhi keputusan tribunal tuntutan pembeli rumah dari tahun 2003 hingga Dis tahun lepas, 680 tuntutan berjaya diselesaikan manakala 2,970 kes lagi masih dalam siasatan dan pendakwaan.

Parameswaran berkata pihaknya sentiasa menjaga kepentingan orang ramai apabila sebanyak 384 syarikat pemaju perumahan dikenakan kompaun tahun lepas kerana melakukan kesalahan iklan dan gagal mengemukakan laporan kemajuan projek.

"Pada tahun lepas sebanyak 95 kes kesalahan pemaju telah didakwa mengikut akta perumahan," katanya.

-- BERNAMA