Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Sekolah Sukan Terengganu Mula Ambil Pelajar Tahun Depan
Last update: 18/06/2008

KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Bernama) -- Sekolah Sukan Terengganu, yang akan dibina di Gong Badak, tidak lama lagi akan mengambil kumpulan pertama pelajarnya mulai Januari tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata sebagai permulaan, pelajar yang terpilih ke sekolah sukan itu akan ditempatkan di Sekolah Teknik Kuala Terengganu sebelum sekolah berkenaan siap sepenuhnya.

"Kita belum pasti berapa jumlah pelajar kumpulan pertama yang akan diambil kerana ia bergantung kepada kemampuan Sekolah Teknik berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, Rabu.

Beliau berkata sekolah sukan itu akan dibina di sebuah kawasan seluas tujuh hektar dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM80 juta berhampiran Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dekat sini.

Ahmad berkata apabila siap, sekolah sukan itu akan menjadi yang terbesar di Malaysia dengan kemampuan untuk menampung 1,000 pelajar berbanding Sekolah Sukan Bukit Jalil yang hanya mempunyai 625 pelajar.

Ahmad berkata pengambilan pelajar sekolah sukan itu adalah terbuka kepada pelajar-pelajar di seluruh negara tetapi keutamaan diberi kepada pelajar Terengganu.

"Sekurang-kurangnya 50 peratus tempat hendaklah diberi kepada pelajar yang berasal dari Terengganu. Pelajar yang mempunyai bakat dalam sukan dengan mewakili sekolah, daerah atau negeri boleh memohon untuk memasuki sekolah sukan ini," katanya.

-- BERNAMA