Recommend Us | About Us | Back to Bernama.com

News | Financial Calculator | Home Financing | Archived News |

 

  Welcome to Bernama Banking & Finance Special Page     
 
Bekas Ketua Setiausaha Negara Meninggal Dunia
Last update: 22/06/2006

Allahyarham Tun Abdullah Salleh

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Bekas Ketua Setiausaha Negara dan pengasas penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tun Abdullah Salleh meninggal dunia hari Khamis, dua hari sebelum menyambut hari jadinya yang ke-80.

Menurut anak sulungnya Abu Hanifah, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, kira-kira pukul 3.30 petang akibat pendarahan ulser.

Beliau telah dimasukkan ke hospital itu seminggu yang lepas setelah didapati muntah darah.

Menurut Abu Hanifah, bapanya juga telah masuk dan keluar hospital yang sama sejak tiga bulan lepas.

Jenazahnya telah dibawa pulang ke kediamannya di No. 21, Jalan Setiajaya, Bukit Damansara di sini dan dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 10 pagi hari Jumaat di sisi pusara isterinya Allahyarham Toh Puan Mohani Abu Bakar.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak iaitu Abu Hanifah, 47, Azmi, 44, dan Azleen Aziada, 34.

Allahyarham menyandang jawatan Ketua Setiausaha Negara pada bulan Oktober 1976 sebelum bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 1979.

Allahyarham juga ialah Pendaftar pertama UKM pada tahun 1970 dan pernah menjawat pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam termasuk Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada tahun 1974 sebelum dilantik sebagai KSN.

Abdullah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada tahun 1955 sebagai Penolong Pegawai Daerah Johor Baharu pada tahun 1955 dan dua tahun kemudian menyandang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Allahyarham juga pernah menjadi Setiausaha Peribadi kepada Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra pada tahun 1959.

Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan beliau dilantik sebagai Pengerusi dan Ketua Eksekutif syarikat minyak negara Petronas pada tahun 1979 dan kemudiannya Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas mulai Februari 1984 hingga 9 Februari 1988.

Beliau dilantik Pro Canselor UKM pada tahun 1988.

Dilahirkan di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 24 Jun 1926, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pak Abas, Melaka, Bandar Hilir English School, Melaka dan Malacca High School sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1949.

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Geografi daripada Universiti Malaya, Singapura.

Abdullah menjadi pengerusi Yayasan Tun Abdul Razak selama 16 tahun mulai Mei 1989 hingga beliau melepaskan jawatan itu pada Mei tahun lepas.

-- BERNAMA




 <Back>