Suasana Pilu Tuanku Mizan Dan Tuanku Nur Zahirah Berpisah Petugas Istana Negara
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Istana Negara diselubungi suasana sedih dan sayu apabila hampir 500 petugasnya menghadap dan bersalaman bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah yang mengakhiri tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-13 pada Isnin.

Pegawai Pentadbir Istana Negara Mohd Aseral Jusman, yang bertugas dengan Istana Negara sejak 2003, berkata beliau sedih kerana tidak lagi dapat berkhidmat untuk seorang Yang di-Pertuan Agong yang amat dekat di hatinya.

"Baginda seorang yang amat teliti dalam hal ehwal pentadbiran, malah baginda juga amat mesra dengan kami, petugas Istana Negara. Kemesraan baginda membuatkan baginda begitu dekat di hati saya.

"Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong kedua yang dapat saya berikan khidmat saya. (Yang pertama Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong ke 12). Bagi saya kedua-dua baginda mempunyai keistimewaan sendiri dan satu penghormatan bagi diri saya berkhidmat untuk kedua-dua baginda," katanya kepada Bernama.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Istana Negara, Zulkefli Saleh, berkata Tuanku Mizan mempunyai personaliti yang mudah didekati petugas Istana Negara serta rakyat.

"Kenangan paling manis saya bersama baginda ialah semasa bersama menunaikan solat tarawih baru-baru ini. Saya terasa kehilangan bila tidak lagi dapat berkhidmat untuk baginda," kata Zulkefli yang telah tiga tahun berkhidmat dengan Istana Negara.

Pegawai Kundang Istana Negara, Sa'adiah Mohd Mahathir, berkata kemesraan Tuanku Nur Zahirah terhadap petugas Istana Negara membuatkan semua petugas merasakan mereka berada dalam satu keluarga yang besar.

"Tuanku Nur Zahirah merupakan seorang yang amat ringkas, begitu juga Tuanku Mizan. Tuanku Nur Zahirah penuh dengan sifat keibuan dan amat mengambil berat terhadap semua petugas istana. Senyuman manis baginda tidak dapat saya lupakan.

"Saya telah berkhidmat dengan Istana Negara selama 22 tahun dan menjadi satu kebanggaan bagi saya menyumbang khidmat bakti untuk Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah," kata Sa'adiah dengan linangan air mata.

-- BERNAMA