Dun Pahang Rakam Junjung Kasih Kepada Tuanku Mizan
KUANTAN, 12 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini merakamkan sembah junjung kasih kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob ketika membentangkan usul itu berkata pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin menampakkan kematangan yang amat tinggi.

"Pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin juga sentiasa menampakkan pemerintahan yang berjiwa rakyat hingga rakyat dari serata pelosok negeri dan negara sentiasa berasa sejahtera di bawah payungan pemerintahan baginda yang adil dan saksama," katanya.

Adnan berkata kematangan Tuanku Mizan Zainal Abdidin juga kerana baginda pernah menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama dua kali iaitu pada April 1999 ketika Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11, dan pada Disember 2001, ketika Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-12.

Dewan turut merakamkan sembah tahiah dan menjunjung kasih kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Pelantikan ini ialah yang kedua bagi baginda, kali pertama ialah selaku Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970.

"Semoga Allah memberkati pemerintahan baginda bagi tempoh pemerintahan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-14," kata Adnan.

-- BERNAMA