Makanan Cukup, Harga Berpatutan Agenda Utama Mesyuarat D8

Oleh Ayu Dalita Pendek

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Ketika dunia bergelut dengan krisis ekonomi, sekumpulan penentu dasar dari negara Islam membangun akan berhimpun di Kuala Lumpur minggu depan bagi membincangkan agenda penting memastikan bekalan makanan mencukupi serta boleh dinikmati rakyat pada harga berpatutan.

Mesyuarat Peringkat Menteri Negara-negara Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8) khusus mengenai jaminan makanan, yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 Feb, dilihat sebagai satu inisatif untuk menggembleng keupayaan sektor pertanian ketika sektor lain suram akibat tempias krisis ekonomi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata usaha perlu dilakukan untuk memastikan bekalan makanan bukan saja mencukupi untuk menampung keperluan rakyat, malah mampu dibeli pada harga berpatutan.

Mesyuarat juga akan membincangkan isu kenaikan mendadak harga bijirin tahun lepas.

"Tumpuan perbincangan juga akan menjurus kepada kaedah menambah pengeluaran serta menghasilkan benih berkualiti ke arah melipatganda pengeluaran serta mengurangkan harga makanan," katanya kepada Bernama di sini.

Bagi mereaslisasikan usaha itu, tiga inisiatif bakal dirangka menerusi kerjasama strategik antara negara anggota merangkumi pembinaan kilang baja yang mencukupi, penghasilan makanan haiwan berkualiti serta penubuhan bank benih untuk mengeluarkan benih terbaik.

Mesyuarat berkenaan diadakan hasil cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Sidang Kemuncak D8 kali keenam di Kuala Lumpur pada Julai tahun lepas agar diadakan program kerjasama mengenai jaminan makanan dalam kalangan negara anggota bagi menangani harga makanan yang semakin melambung.

Mustapa berkata Petronas, Felda dan Sime Darby akan terlibat secara langsung dalam mesyuarat kali ini.

"Petronas dipertanggungjawabkan untuk membentangkan kertas kerja berkaitan baja, Felda pula menumpukan kepada makanan haiwan sementara pembentukan bank benih akan dibentangkan oleh Sime Darby," katanya.

Mustapa berkata ketiga-tiganya juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua pelan yang dipersetujui pada mesyuarat berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.

Semua cadangan yang dicapai pada mesyuarat itu juga akan disusuli usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Wisma Putra selain pemantauan berterusan oleh Sekretariat D8 yang beribu pejabat di Istanbul, Turki.

Mesyuarat itu juga akan menghasilkan Deklarasi Kuala Lumpur bagi membentuk kerjasama negara-negara D8 untuk pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif dan cadangan usaha sama dalam kalangan sektor swasta bagi pelaksanaan projek pertanian berskala besar yang lain.

Wakil dari tujuh daripada lapan negara anggota D8 terdiri Bangladesh, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Turki mengesahkan penyertaan kecuali Mesir. Arab Saudi, Brunei dan Qatar dijemput sebagai tetamu.

Sebanyak 26 syarikat swasta dalam dan luar negara akan juga mengambil bahagian.

Turut dijangka hadir ialah wakil dari negara Pertubuhan Persidangan Islam, Bank Pembangunan Islam Bank, Bank Pembangunan Asia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian.

Negara D8 yang ditubuhkan pada 1997 sebagai sebuah forum untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi memperbaiki status ekonomi negara anggota.

-- BERNAMA

 
     
 
 
 



2009 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Best viewed in Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 with 1024 x 768 resolution