bajet 2018

 

Laman Utama  |  Senarai Berita   English Version  | Kembali ke BERNAMA.com  |  Facebook  |  Twitter


 
 

#LAPORAN: Pengurusan Risiko Jaminan Kerajaan Diperkukuh Bagi Minimumkan Dedahan Risiko Ke Atas Fiskal

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pengurusan risiko Jaminan Kerajaan (GG) terus diperkukuhkan bagi memastikan pendedahan risiko kepada kedudukan fiskal kerajaan adalah minimum, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Laporan itu menyatakan, melangkah ke hadapan, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan memantau GG dengan lebih teliti memandangkan ia merupakan sumber utama liabiliti luar jangka.

"Rangka kerja penilaian risiko akan ditambah baik dengan proses taksiran yang lebih ketat dan teratur berdasarkan amalan terbaik bagi memastikan risiko kredit dan kebarangkalian kegagalan entiti membayar balik pinjaman adalah rendah.

"Pemantauan terbitan pembiayaan GG juga adalah penting bagi mengurangkan risiko kecairan serta melancarcarkan terbitan pembiayaan kerana ia boleh mempengaruhi kadar kupon pembiayaan," menurut laporan itu.

Laporan itu berkata, fi GG akan dikenakan berdasarkan profil dan pendedahan risiko kepada kerajaan bagi mengatasi isu bahaya moral manakala skop dan tempoh GG akan dihadkan tertakluk kepada segmen pelaburan dan jangka hayat asset yang dicadangkan.

Elemen penting lain yang wajar diambil kira dalam rangka kerja fiskal adalah penilaian dan penetapan tahap pendedahan risiko berdasarkan metodologi yang kukuh.

Kerajaan, menurut laporan itu, kerajaan sedang meneliti langkah untuk memperkenalkan had siling untuk terbitan GG seperti diguna pakai dalam pengurusan hutang kerajaan Persekutuan yang akan meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan liabiliti dalam rangka kerja fiskal kerajaan.

"GG sentiasa dikaitkan sebagai antara sumber risiko fiskal yang mana risiko kredit entitI harus dinilai secara menyeluruh dan dipantau dengan teliti bagi memastikan obligasi pembiayaan tidak menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan.

"Tanggungjawab kerajaan menjelaskan bayaran hanya akan wujud sekiranya peminjam gagal untuk membayar balik pinjaman, dan bukan satu bentuk liabiliti langsung kepada kerajaan.

"Namun GG diklasifikasikan sebagai liabiliti luar jangka dan dilaporkan setiap tahun dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, pada akhir 2016, jumlah hutang GG adalah RM187.3 bilion atau 15.2 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Portfolio GG sedia ada merangkumi pelaburan yang dibuat dalam pelbagai segmen dengan sebahagian besar GG adalah untuk membiayai projek infrastruktur awam (42 peratus) antaranya transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT), lebuh raya, lapangan terbang seta pelabuhan kontena dan jambatan bertol, menurut laporan tersebut.

Manakala GG yang lain, antaranya, turut diberikan kepada syarikat pegangan pelaburan (15.7 peratus) yang menceburi pelaburan strategik serta segmen perkhidmatan (24.4 peratus) yang terdiri dari entiti yang memberi pinjaman pendidikan tertiary dan perumahan kakitangan awam, katanya.

Laporan turut menyatakan, kadar pertumbuhan purata tahunan hutang GG adalah lebih rendah iaitu 4.3 peratus dalam tempoh dua tahun yang lalu berbanding 14 peratus dalam tempoh 2012-2014, ini berikutan proses saringan yang lebih selektif dan ketat serta penilaian risiko yang lebih teliti.

"Kira-kira 97 peratus daripada hutang GG adalah dalam mata wang ringgit manakala bakinya terdiri daripada yen dan dollar Amerika Syarikat, oleh itu volatiliti kadar tukaran mata wang memberi kesan yang minimum kepada portfolio GG," menurut laporan itu.

Menurut laporan lagi, GG memainkan peranan penting dalam memudahkan dan merancakkan pembangunan ekonomi di Malaysia bagi memastikan pertumbuhan yang pesat dan inklusif.

Laporan itu berkata, dengan pelaksanaan amalan terbaik dalam menguruskan GG akan membolehkan kerajaan meningkatkan keberkesanan bagi mencapai konsolidasi fiskal dan menyokong agenda transformasi negara.

-- BERNAMA

SPASA SPSA ZAZ


 
 
Bajet 2018 : PM Beri Perhatian Tinggi Buat Sabah, Sarawak
   
#BAJET: Intipati Bajet 2018
   
Inti Pati Laporan Ekonomi 2017/2018
   
PVATTBM Harap PM Ambil Kira 'Blueprint Veteran 1Malaysia'
   

 

 
 


 

 
 
 
 

 

2017 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi| Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel