bajet 2018

 

Laman Utama  |  Senarai Berita   English Version  | Kembali ke BERNAMA.com  |  Facebook  |  Twitter


 
 
Bajet 2018: Peruntukan Besar Bukti Kepercayaan Kerajaan Kepada Rela

SUNGAI PETANI, 4 Nov (Bernama) -- Sejumlah besar peruntukan untuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menerusi Bajet 2018, membuktikan kepercayaan kerajaan terhadap agensi berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rela, Kamaruddin Mohd Rapig berkata peruntukan berjumlah RM250 juta itu dilihat sebagai penghargaan terhadap jabatan itu yang kini berperanan sebagai benteng kedua pertahanan negara selepas tentera dan polis.

"Seperti pernah disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, Rela merupakan satu badan yang menjadi platform untuk menterjemahkan transformasi negara, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

"Ini menunjukkan kerajaan memberi kepercayaan kepada Rela untuk turut menjaga keselamatan rakyat dan negara, selaras dengan peranan Rela kini sebagai benteng pertahanan kedua selepas tentera dan polis," katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Ujian Kemahiran Menembak Rela Kebangsaan (UKMR-K) 2017 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 432 peserta daripada 16 pasukan, termasuk 15 pasukan negeri dan sebuah pasukan Relasis Malaysia, mengambil bahagian dalam tiga kategori senjata yang dipertandingkan pada UKMR-K 2017 iaitu senapang patah, M16 dan pistol (9 milimeter).

"Objektif utama pertandingan ialah untuk menentukan tahap kemahiran pegawai dan anggota Rela dalam pengendalian senjata api, dan ia juga diharap dapat meningkatkan daya saing dan ketahanan mental dalam pembentukan disiplin serta jati diri pegawai dan anggota Rela di seluruh negara.

"Selain dapat mengeratkan lagi hubungan antara pegawai dan anggota Rela, pertandingan ini juga berupaya memilih dan mengetengahkan penembak unggul untuk mewakili badan ini menyertai pertandingan di peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata pertandingan yang menjadi acara tahunan itu akan diteruskan pada masa hadapan, yang mana lokasi pertandingan akan dipilih secara bergilir.

Sementara itu, kontinjen Perak yang memperoleh pungutan pingat terbanyak, membawa pulang piala pusingan dan piala iringan, manakala jaguh relawan dan relawati bagi senjata M16 tembak silang, masing-masing menjadi milik Mohd Azmi Mohamed dari Terengganu dan Nur Zawanah Reduwan dari Kuala Lumpur.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Rela, Hashim Shikh Ab Kadir dan Pengarah Rela Kedah, Ahmad Abdul Wahab.

-- BERNAMA

 
 
Bajet 2018 : PM Beri Perhatian Tinggi Buat Sabah, Sarawak